Saturday 28 February 2015

Resepi nasi goreng ikan bilis yang amat ringkas

Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
Entri 16

Assalamanualaikum WBT..

Salam ceria di pagi Ahad. Hari ini En Suami akan menghadiri seminar ABS ( Ainun Business School), maka seawal pukul 7.30 am perlu bangun untuk sarapan. Rasa malas untuk keluar, jadi aku turun ke dapur mencari apa apa yang boleh dibuatkan sarapan. Meh kita tengok apa yang ada di dapur. Belek belek adalah benda alah ini.


Bahan bahan terdiri dari bahan kering sebab jarang masak. Ikan bilis, cili kering (ganti cili hidup) dan bawang besar

Gorengkan ikan bilis dulu

Masukkan bawang besar

Potong dan basuh cili kering

Goreng sekali cili kering, bawang besar dan ikan bilis

Sudah agak agak garing, masukkan nasi dan gaulkan sekali dengan bahan yang digoreng.



Gaul nasi sehingga bahan bahan gorengan sudah sebati dengan nasi. Tutup api dan hidangkan. Sarapan pagi ini.
Jadilah nasi goreng ikan bilis yang ringkas,. Bila tengok En Suami makan bertambah Alhamdulilah walaupun bahannya tidak lengkap. Jadi pengajaran, boleh masak walaupun tidak terikat dengan resepi.


Sekian Wassalam.

Doktor Sakit Puan - Dr Hamid Arshat

Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
Entri  15

Assalamualaikum WBT

Apabila aku diagonisis mengidap endometriosis, pelbagai usaha aku lakukan untuk hamil. Langkah pertama adalah mendapat pandangan dari pakar sakit puan yang berpengalaman dalam hal kesuburan dan ketumbuhan. Mendapatkan pandangan dari pakar sakit puan adalah perlu sebab pesakit endometriosis perlu menjalani prosedur tertentu untuk hamil. Antara doktor sakit puan yang pernah aku jumpa adalah :-

Dr Hamid Arshat

Beliau adalah doktor pertama yang aku jumpa. Beliaulah yang mula mula memeriksa dan mendapati aku menghidapi endometriosis. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang sakit puan. Antara bidang pengkhususan beliau adalah merawat kemandulan dan merawat ketumbuhan (endometriosis, fibroids etc). Memang betul betul pakar sebab sekali pandang pada scan beliau boleh menerangkan padaku jenis endometriosis aku. 

 Atas nasihat beliau, aku menjalani pembedahan  laproskopi. Secara ringkasnya, prosedur dimana, doctor akan buat satu hirisan di perut untuk masukkan kamera dan tengok keadaan dalam rahim. Prosedur ni adalah untuk pesakit yang mempunyai masalah saluran tiub fallopio, ovarian cyst & merawat endometriosis. (Jangan ngeri tengok gambar)

Hirisan untuk masukkan kamera. Gambar dari alamhamilblog.com
Sesetengah prosedur doktor cuma membuat hirisan melalui pusat untuk masukkan kamera

Pembedahan laparoskopi   

Selepas menjalani pembedahan laparoskopi, aku diberi cuti sakit selama sebulan. Penjagaan selepas pembedahan laparoskopi sama seperti orang dalam pantang sebab pembedahan ini melibatkan rahim, jadi rupaku memang seperti orang dalam pantang. Terima kasih kepada mama dan En Suami kerana menjaga aku semasa aku sakit. 

Apabila sakit barulah aku tahu nikmat sihat. Jadi, apabila kita sihat jagalah kesihatan baik baik. Bila kena pantang makan, barulah tahu nikmat makan. Jadi bila makan berpada padalah. Jangan makan sampai sakit

Sekian Wassalam





Friday 27 February 2015

Tiub Fallopian tersumbat

Teks : Maizatul Sharin Mohamad 
Entri 14

Assaalamualaikum WBT.

Aku sambung sikit pasal endometriosis. Salah satu lagi kesan endemotriosis adalah tiub fallopian tersumbat. Maksudnya? Endemotriosis boleh tumbuh di mana mana dan salah satu tempatnya adalah tiub fallopian.  Apabila darah terkumpul dan tiada tempat untuk keluar maka ia akan berkumpul di dalam tiub fallopia. Semakin lama semakin banyak dan akhirnya menyebabkan ia tersumbat. Apabila tersumbat maka sprema tidak dapat bertemu dengan ovum seterusnya gagal untuk proses persenyawaan.

Atas sebab itu, aku mendapat khabar yang amat mengecewakan. Aku tidak boleh mengandung dengan cara biasa. Doktor menyarankan aku dan En Suami melakukan prosedur IVF. 

Aku dan En Suami termenung dan buntu untuk membuat keputusan. Patutkah kami lakukan ? Bukan sedikit belanja yang diperlukan. Kos yang pailing minimum adalah RM 13,000. Perlukah kami korbankan wang sebanyak itu untuk mendapatkan zuriat?

Tiada tempat lain untuk mengadu selain Allah SWT. Pada-Nya kami mengadu. Hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk kami. Insha Allah.

Penerangan ini adalah berdasarkan pemahaman aku daripada apa yang diterangkan oleh doktor sakit puan aku.

Untuk mengetahui tersumbat atau tidak, ujian HSG perlu dilakukan. Sejenis cecair akan dimasukkan kedalam tiub. Tiub yang normal adalah seperti gambar open tube.


Sekian Wassalam

Thursday 26 February 2015

Aku vs Endemotriosis

Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
Entri : 13
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki - Fathuri Salehudin

Assaalamualaikum WBT

"Kita wajib berikhtiar kerana ikhtiar itu adalah perintah Allah SWT. Dan kita dianugerahkan  pahala apabila berikhtiar. Namun, bukan ikhtiar itu syarat bertambahnya rezeki. Usaha bukanlah penyebab mutlak rezeki bertambah, kerana yang mutlak hanyalah ketentuan Allah SWT" 
- Fathuri Salehudin

Apabila aku membaca ayat ini di dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki karangan Fathuri Salehudin, baru aku tersedar bahawa selama ini aku terlalu bergantung dengan usahaku sendiri. Aku terlampau memegang kata kata Usaha Tangga Kejayaan . Ya Betul usaha tangga kejayaan tetapi perlu ingat yang menentukan kejayaan itu adalah Pencipta segala makhluk yang ada di langit dan di bumi iaitu Allah SWT. Tanpa izin-Nya  walaupun sudah berusaha bersungguh sungguh, tetap tidak akan memperolehi kejayaan. Di sini rupanya Allah menguji  kesabaran aku. Aku mula sedar bahawa Allah SWT sedang mendidik aku untuk menjadi orang yang sabar. Sabar adalah separuh daripada iman.

Perkara ini adalah berkaitan usaha aku untuk memperolehi zuriat. Aku telah mendirikan rumahtangga hampir sepuluh tahun. Tahun demi tahun aku sentiasa menunggu agar Allah SWT membuka rezeki aku untuk bergelar ibu. Namun hingga ke hari masih belum lagi sampai rezekiku. 

Aku mengidap penyakit endemotriosis.   Satu keadaan  di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di luar rahim.  Biasanya selaput ini akan luruh bersama dengan darah haid dalam keadaan biasa, tetapi untuk penghidap endemotriosis, memandangkan ia berada di luar rahim, ia tidak dapat keluar terus ke saluran faraj. Ia terperangkap dan berkumpul di dalam badan. Dan ia boleh tumbuh di mana mana sahaja. Untuk kes aku, endometriosis aku pernah tumbuh di bahagian usus sehingga mengganggu sistem penghadaman aku.

Dan atas sebab inilah, aku sukar untuk hamil. Dan biasanya penghidap endometriosis menpunyai  rahim terbalik (retroverted uterus).

Rahim terbalik akan melawan graviti

Secara normal, rahim akan berada di hadapan tetapi apabila terbalik ia akan condong ke belakang dan melawan graviti. Dan apabila melawan graviti ia akan menyukarkan pergerakan sperma. Sperma akan sukar masuk ke tiub fillapio kerana perlu melawan graviti dan seterusnya menyukarkan ia bertemu dengan ovum.




Maka  di sini aku ada dua masalah untuk hamil. Endometriosis aku pula dalam kategori 'fast growth'. Maksudnya boleh membesar dengan keadaan pantas dan menyukarkan lagi untuk hamil. Persamaan seperti ini :-

Ovum  mengecil apabila endemotriosis membesar. Ovum yang kecil menjadi tidak matang dan tidak dapat disenyawakan.

Pilu rasanya apabila mendengar keterangan doktor. Tetapi aku kuatkan juga semangat untuk aku berusaha untuk hamil. Dan setiap kali aku gagal, aku berasa amat kecewa. Aku lupa usaha aku bukan menentukan kejayaan, tetapi Allah SWT. Apabila aku membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki, aku rasa terpukul. Kalau sudah ditetapkan bukan rezeki aku, buatlah macamana sekalipun tetap bukan rezeki aku.  Aku perlu tingkatkan lagi penyerahan aku kepada Allah SWT. Entri ini adalah untuk peringatan kepada diriku sendiri. Jangan terlalu yakin dengan usaha sendiri. Berusaha  sebab Allah mengarahkan aku untuk berusaha. Berjaya atau tidak bukan atas usaha aku, tetapi atas izin Allah SWT.  INGAT! Andai aku gagal lagi, sekurang kurangnya aku tahu Allah SWT sedang mendidik aku untuk menjadi orang yang sabar. Alhamdulilah.

Sekian Wassalam.


Tuesday 24 February 2015

Tips untuk mengurangkan kerja rumah di hari minggu

Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
Entri : 12

Assalamualaikum WBT

Setiap hari aku pulang lewat dari kerja. Terlalu banyak perkara yang aku perlu pelajari dan selesaikan sampai aku sendiri tidak sedar hari sudah gelap. Bila pulang dari kerja memang badan sudah letih dan  tidak berdaya hendak buat apa apa pun. Jadi bila tiba hujung minggu , boleh dikatakan satu hari suntuk aku gunakan untuk membasuh baju dan mengemas. Maka untuk mengelakkan aku berkurung di dalam rumah membuat kerja rumah di hujung minggu maka aku membuat senarai yang perlu aku lakukan setiap hari supaya boleh mengurangkan kerja rumah di hujung minggu.

  • Basuh baju dua hari sekali
  • Lipat dan seterika baju terus apabila angkat dari ampaian. Ini untuk mengelakkan timbunan kain yang perlu dilipat di hujung minggu
  • Satu hari lap satu rak. Maka di hujung minggu tidak perlu mengelap rak 
  • Basuh tandas semasa mandi
  • Lap dapur setiap kali selepas masak. Maka ruang dapur tidak perlu dibersihkan hujung minggu
Apabila aku mula lakukan  perkara dia atas, terbukti aku dapat mengurangkan sedikit masa mengemas di hujung minggu, Dengan itu, bolehlah aku meluangkan masa aku untuk melakukan perkara perkara lain

Lain orang lain cara, maka terpulang pada individu untuk melakukan.   Hanya sedikit perkongsian yang tidak seberapa dari aku.

Sekian Wassalam


Monday 23 February 2015

Tips untuk mengadakan Family Day

Teks  Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
Entri 11

Assalamualaikum WBT

Cuti cuti Malaysia Yeayyyyy .. Cuti panjang. 19/2-22/2/2015 Tahun Baru Cina. Wah seronoknya...
Sempena cuti panjang ini aku dan keluarga telah mengadakan family day . Tempatnya di Bagan Lalang Selangor sahaja. Sebab kalau aku buat di luar dari Selangor pasti akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Kalau di Selangor ahli keluargaku yang datang dari Perak tidaklah perlu mengharungi jammed berbanding kami yang hendak keluar dari KL. Maka semua bersetuju untuk mengadakan di Bagan Lalang  Selangor.  Rupa rupanya memang susah juga umtuk mencari tempat dan menguruskan family day ini, Jadi berdasarkan pengalaman aku yang menjadi setiausaha Family Day (hahahahaha,,) di sini aku kongsikan sedikit panduan, Keluarga aku tidaklah ramai sangat . Tidak sampai pun 50 orang, tetapi itupun mencabar juga. Jadi antara perkara perkara asas yang perlu ambil kira :-
  • Tarikh. Yang ini penting supaya ahli ahli keluarga yang lain boleh merancang dan minta cuti awal awal,terutama mereka yang perlu menempah tiket kapal terbang. Selewat lewatnya pemberitahuan selama 3 bulan.
  • Bajet. Keluarga aku kategori sederhana sahaja. Jadi aku perlu cari tempat yang semua ahli keluarga lain mampu. Memanglah kalau ikutkan hati mestilah tempat yang grand, tapi perlu ambil kira kemampuan ahli keluarga yang lain. Jadi untuk keluarga aku, kami tetapkan tidak lebih RM 100 sekepala.
  •  Lokasi. Pada mulanya aku hendak buat di Pulau Pangkor tapi memandangkan musim perayaan dan kemudahan logistik jadi aku tukarkan lokasi. Aku juga ambil kira majoriti keluarga aku suka pantai dan mandi laut, jadi tempat mesti berhampiran dengan laut.
  • Pakej yang ditawarkan. Perkara penting yang aku utamakan makanan perlu disediakan dan kemudahan untuk beriadah. 
  • Suasana tempat penginapan. Chalet yang dipilih tidak terlalu protokol. Contohnya satu bilik hanya boleh dua orang sahaja. Aku tidak suka chalet yang terlalu 'rigid'. Sebab peraturan sebegitu menyukarkan untuk kami yang golongan sederhana untuk bercuti. Bagi aku lagi seronok kalau semua keluarga dapat berkumpul dalam satu rumah atau chalet. Memanglah tidak boleh sebab kami pun ramai, tetapi sekurang kurangnya tidak perlu ada limitation bilangan orang untuk satu bilik. Aku faham kalau dilihat dari sudut keuntungan tetapi bagi aku kalau ramai pengusaha chalet yang boleh memberi kelonggaran, aku rasa cara yang macam itu lebih mengundang lebih ramai pengunjung dan aku rasa penduduk di Malaysia ini ramai yang dari golongan sederhana
Jadi setelah lebih kurang 4 bulan merancang dan mencari lokasi akhir kami semua bersetuju mengadakan family day kami di Bagan Lalang Beach Resort. Alhamdulilah, masih banyak kekurangan tapi Insha Allah akan diperbaiki untuk tahun yang akan datang.

Gambar nenda nenda ku


Pantai Bagan Lalang.Air pasang dalam pukul 5-6 petang sehingga 10 pagi keesokannya





    Chalet untuk orang bujang. Biliknya di loteng. Bawah tempat rehat




    Futsal

    Dewan makan

    BBQ 

    Kami sekeluarga.. Ada lagi sebenarnya tapi tidak hadir

    Sepupuku yang "comel"

    Si kenit
    Sekian , Wassalam

    Sunday 22 February 2015

    Adab bersedekah

    Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
    Entri 10
    Sumber : Radion Ikim FM ( 8 am 22.2.2015)
    Assalamualaikum WBT

    Pagi ini saja keluar bersama Encik Suami. Seperti biasa tangan pun mula memutar mutar mencari stesen radio.  Pencarian berhenti di stesen radio Ikim FM apabila mendengar topik 
    Adab Adab bersedekah. Aku tidak sempat mendengar secara keseluruhan tapi antara isi penting yang sempat aku catat untuk dikongsi bersama adalah :

    1. Kalau kita bersedekah dan mengharapkan balasan walaupun dengan ucapan terima kasih, maka habislah pahala sedekah tersebut. Maka sebaik baiknya lupakankah apa sahaja apa yang kita berikan kepada orang lain.
    2. Darjat ikhlas yang paling rendah .. Tidak tengok apa yang kita beri  dan tidak tengok kepada siapa yang kita beri - Imam Al Ghazali
    3. Syeikh Kaadir Al Jalani (penghulu segala wali) ditanya dengan soalan    'kepada siapa yang patut  aku infakkan harta aku'. Beliau menjawab 'Infakkan kepada siapa yang patut menerima dan infakkan pada siapa yang tak patut menerima, nescaya Allah SWT akan kurniakan rezeki yang patut kamu terima dan yang tidak patut kamu terima'.





    Entri ini untuk peringatan kepada diri aku sendiri.

    Sekian dan Wassaalam

    Thursday 19 February 2015

    Resepi ringkas sambal tumis udang petai

    Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
    Entri 9

    Assalamualaikum ..Salam Jumaat penghulu segala hari

    Hari ini memandangkan hari cuti dan sebelum kami sekeluarga pergi bercuti ke Bagan Lalang (hehehe dekat aje, nak kurangkan kadar kesesakan jalan raya) aku merajinkan diri untuk memasak.

    Masuk dapur, bawang kecil tak ada. Hmm ganti ajerla dengan bawang besar. Tidak jadi masalah. Tidak perlu terikat sangat dengan resepi . Maka inilah bahan bahannya :
    bawang besar, asam jawa, seulas bawang putih, cili kisar dan gula kabung (ganti gula putih)

    Udang
    Kisar bawang besar, bawang putih dan cili kisar
    Panaskan minyak

    Tumis bahan yang dikisar. Masukkan gula kabung
    Tumis sampai pecah minyak (macam ni)

    Masukkan udang

    Petai sedia untuk dimasukkan

    Masukkan petai dalam udang dan masukkan garam.
    Siap untuk dihidangkan
    Memandangkan ramai yang dah lapar, aku tidak sempat menghias (hehehe). Tapi inilah juadah kami di hari cuti ini. Selamat Menjamu Selera


    Sekian Wassalam

    Wednesday 18 February 2015

    Coklat untuk doorgift

    Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
    Entri : 8


    Assalamualaikum..

    Aku pernah belajar buat coklat. Tahun 2010 bersama rakanku. Aku  memang penggemar coklat, jadi bila sudah suka, aku ambil peluang untuk belajar buat coklat. Dan dari situ aku, adalah projek kecil-kecilan yang aku buat untuk majlis pertunangan dan doorgift. Antara hasil buatan aku sendiri 


    Coklat untuk majlis pertunangan adik aku


    Coklat untuk hari raya


    Coklat untuk hari raya dan untuk jajan anak buah

    Yang ini untuk anak anak buah

    dan juga pernah buat untuk doorgift untuk sepupu aku (terlupa hendak ambil gambar pada masa tu)


    Seronok juga bila makan hasil buatan sendiri. Sekarang ini ramai yang sudah buat kelas coklat. Jadi pilih sahaja di mana hendak belajar. Kalau tidak salah aku Kolej Komuniti juda ada menawarkan kurusus sehari membuat coklat dengan bayaran cukup murah. Silalah.


    Sekian Wassalam

    Tuesday 17 February 2015

    Tips untuk membeli Novel

    Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
    Entri :7

    Assalamualaikum warahmaatullah hiwabarakatuh

    Aku memang suka baca novel. Mempunyai keupayaan untuk menghabiskan pembacaan dalam tempoh satu malam kalau kena dengan novelnya. Kebanyakan novel yang diadaptasi ke drama ada dalam koleksi aku.

    Selalu orang bertanya kepada aku, macam mana hendak pilih novel yang best. Harga novel paling murah RM19. Kalau kena novel yang best, berbaloilah membeli. Kalau kena yang tidak best bukankah satu kerugian. Dulu aku pun selalu terkena , jadi aku tukar taktik. Caranya :
    • Sewa novel.
      Aku selalu sewa novel . Ada sebuah kedai buku sewa beli Readers Paradise di Ampang Point yang aku sering pergi Jadi tidak payah beli.
    • Tengok sinopsis cerita.
      Membaca sinopsis novel amat penting dalam pembelian novel. Dari sinopsis aku boleh agak konflik, jalan cerita dan menentukan sama ada novel itu menarik atau tidak..
      • Tengok penulis dan latar belakang penulis
        Penulis yang baik akan membuat kajian atau bercerita melalui pengalaman mereka. Kalau hendak dapatkan novel yang baik, cuba lihat antara muka surat terkhir novel. Ada sesetengah novel ada memberi info tambahan yang ada kaitan dengan cerita novel tersebut. Contoh :.
      Penulis ada sediakan segmen ilmu di akhir novelnya.







      •  Ulang cetak 
      Cetakan yang berulang kali merupakan antara yang menentukan cerita itu menarik atau tidak. Kalau tidak menarik pasti tidak akan diulang cetak. Betulkan ?









      Itu antara tips yang aku gunakan semasa hendak membeli novel.Antara novelis yang memang aku suka baca novelnya 
      • Roseharissa ( Penulis ini menulis dengan jujur, Novelnya sangat direct.)
      • Hanina Abdullah ( Very cheeky novelis)
      • Evelyn Rose (pernah tengok Ariana Rose ? Yes she's the one)
      • Hlovate (pernah memenangi Anugerah Pilihan Pembaca 2013 -PNM RTM )
      • Melur Jelita 
      • Anna Lee (setakat ini novelnya tiada cerita kahwin paksa dan ceritanya berlainan sikit dari novelis biasa)
      • Rin Ahmad
      • Syamnuriezmil (Sangat kelakar.Membaca mesti tersenyum)    dan akhir sekali
      • Ramli Awang Murshid . Thriller. Cerita di luar kotak. Sesiapa yang membaca pasti tidak boleh agak apa pengakhirannya. Penulis yang mempunyai imaginasi yang tinggi
       Itu sahaja yang dapat aku kongsikan serba sedikit hobi aku. Bukan novel sahaja, Ada juga bahan bacaan yang lain yang akan kukongsikan bersama.

      Sekian . Wassalam


      Monday 16 February 2015

      Halwa Telinga di petang hari di dalam kereta.....

      Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
      Sumber : Ustaz Kazim Elias- Radio FM Nasional (95.3 FM) 6.30 pm
      Entri: 6

      Assalamualaikum warrahmatullah hiwaabarokatuh

      Alhamdulilah. Hari ini dapat pulang awal sikit. Bukan sudah habis kerja. Kerja memang tidak akan habis,cuma Encik Suami datang menjemput. Wahh bertuah sungguh rasanya.


      Hampir sesak.




      Sepanjang perjalanan, tangan aku mula gatal menukar nukar setesen radio. Satu tabiat apabila menaiki kereta. Konon mencari lagu yang best . Sambil menukar, tangan terhenti di stesen Radio FM Nasional 95.3 fm. Hmm ada tazkirah dari Ustaz Kazim. Tajuk tazkirah








      10 perbuatan yang tidak diterima Solatnya.
      1. Apabila mendengar azan dilaungkan tetapi tidak datang berjemaah. Maksud azan di sini adalah, apabila kita mendengar  suara bilal itu sendiri bukan melalui pembesar suara. Contoh apabila berada di dalam masjid, mendengar suara bilal melaungkan azan, tetapi tidak solat berjemaah. 
      2. Tidak menunaikan zakat. Solat dan zakat berkait rapat. Tidak diterima solat apabila tidak menunaikan zakat dan sebaliknya.
      3. Bezina. 
      4. Makan riba. Jauhi riba. Pilihlah kaedah kewangan Islam
      5. Menyamun dan mencuri. Amalannya tidak akan diterima selagi dia tidak bertaubat dan kembalikan hasil curi.
      6. Memakan benda haram. Contoh babi, anjing dsb
      7. Memakan benda yang tidak diizinkan atau dihalalkan. Contoh lori beras berlanggar di tengah jalan. Beras bertaburan dan kita mengambilnya, Maka di situ rezeki tidak halal maka jangan ambil.
      8. Jual benda dan makanan haram. Contoh tangkap dan jual ular sawa  di kedai makan Cina.
      9. Hamba yang lari dari tuan. Atau pada zaman sekarang suami meninggalkan anak isteri tanpa nafkah  zahir dan batin. Digantung tidak bertali. Tidak diterima solat si suami walaupun dia seorang Imam.
      10. Perempuan yang masam muka, bercakap dengan suara yang tinggi dan derhaka kepada suami. Ini yang selalu para isteri terbabas. Maka seelok eloknya minta maaf pada suami sebelum solat.
      Aku kena hisab diri aku. Terutama no 10.  Ok


      Sekian . Wassalam

      Sebulan....

      Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
      Entri : 5

      Assalamualaikum warrahmatullah hiwabarakatuh

      Salam ceria pada hari Isnin. 'There is no such thing as Monday blues'. Betulkah? Tanya balik diri sendiri. Hmmm senang bercakap tapi hendak melakukan argggggghh.. susahnya.

      Genap sebulan aku bekerja di tempat baru.Mencabar walaupun skop kerja tidak banyak beza. Cuma dahulu aku lebih banyak memeriksa laporan, Tapi sekarang aku pula kena sediakan laporan. Macam turun pangkat pulak. Bukan sepatutnya buat baru periksa? Apa apalah. Sudah sekian lama berada dalam zon selesa, sekarang baru aku rasa aku betul betul menumpukan sepenuh perhatian aku kepada kerjaku (nampak sangat kerja sebelum banyak melencong).Memang rasa tertekan. Terasa hendak cabut pun ada. Semuanya di atas bahuku. Aduii pening. Mungkin atas faktor usia, semangat untuk aku bekerja semakin berkurangan. Di tempat lama aku berasa jemu kerana terlalu buat kerja yang sama.Di tempat baru pulak aku rasa macam tak cukup tangan. 



      Aduuuuiiii

      Ya Allah memang  aku tak bersyukur. Dulu masa tidak ada kerja, risau tidak dapat kerja. Sekarang merungut, Cuba ingat ini.



      Ingat ! Ingat ! Jangan cakap sahaja buatnya tidak.          





      Ok Muhasabah balik diri .

      • Kerja kerana apa ? Untuk dapat mendapat rezeki dan mendapat keredhaan Allah SWT. Jadi, daripada merungut  belajar untuk menghargai apa yang ada. Berapa ramai orang di luar sana yang tidak mempunyai pekerjaan. Aku ? Allah SWT permudahkan jalan untukku. Maka dengan itu tempuh segala tekanan dan bebanan  sambil doa kepada Allah SWT supaya hati tenang untuk laksanakan kerja aku.  
      • Dulu kata jemu sebab buat kerja yang samakan. Sekarang buat benda baru . Then stop complaining. Learn to do it and Do it. Tidak tahu . TANYA. Mana ada orang baru tahu semua benda. Maka jangan ego sangat untuk bertanya. Lain tempat lain caranya.
      • Kuatkan semangat. Insha Allah setiap masalah ada jalan penyelesaian. Jangan takut untuk buat benda baru. It just a work . Banyak lagi kerja di dunia yang lagi susah. Anggap kerja ini senang, aku boleh buat. OK
      Oleh itu wahai diriku sendiri, jangan patah semangat. Jangan jadikan alasan umur sudah meningkat.  Fikir fikirkan lah. Berhenti beri alasan. Pahatkan apa yang ditulis ini dalam hati.




      Sekian. AKU BOLEH.

      Sunday 15 February 2015

      Jemputlah aku sebagai tetamumu-Amin

      Teks : Maizatul Sharin Mohamad Mokhtar
      Entri 4

      Assaalamualaikum Warrahmatullah  Hiwabarokatuh

      Labbaikallah Hummalabbaik

      2013 . 4  bulan sebelum mataf didirikan.


      Pemanadangan Baitullah dari tempat solat perempuan. Tetapi hujung Disember  yang lalu dari tempat solat tidak dapat tengok Baitullah sebab proses pembesaran Masjidil Haram.





      Tanggal Sabtu 14 Februari 2015, salah seorang rakanku pergi menjalani ibadat Umrah. Pemergian selama 10 hari bermula dari 14 Februari hingga 15 Februari 2015 pasti akan memberi satu pengalaman yang amat bermakna kepada beliau. Semoga beliau mendapat umrah yang mabrur. Amin 

      Perjalanan untuk menjadi tetamu Allah SWT bukanlah perjalanan seperti kita makan angin di tempat lain. Perjalanan ini adalah satu perjalanan untuk mengerjakan ibadat. Perjalanan yang menuntut penumpuan sepenuhnya dari segi rohani dan jasmani.  Dan apabila mengerjakan ibadat pasti mesti bersertakan dengan penuntutan ilmu. Beribadat kepada Allah SWT bukan boleh dilakukan dengan ikut suka hati kita. Ilmu dan amal perlu seiring untuk menjadi hamba yang bertakwa (peringatan untuk diri sendiri)



      Apa persediaan asas yang perlu dilakukan untuk menjalani ibadah umrah ?

      Bukanlah hendak berlagak pandai, tetapi sekadar perkongsian  perkara asas untuk persiapan orang biasa pergi mengejakan ibadat umrah

      • Pastikan agensi yang kita pilih untuk pergi adalah yang bertauliah. Bertauliah bermaksud yang mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Tabung Haji. Ini untuk mengelakkan masalah berlaku apabila sampai di tanah suci.Ada setengah jemaah umrah terkandas di Jeddah berikutan tidak mendapat kelulusan untuk masuk ke Tanah suci. Perkara ini  penting perlu diambil kira untuk kita mengerjakan umrah. Jangan terpengaruh dengan bayaran yang murah untuk pergi ke sana. Kos minimum  untuk mengerjakan umrah adalah dalam lingkungan RM 4990 dan jarak dari hotel ke Masjidil Haram adalah sekitar 500+m. Kalau ada pihak yang menawarkan harga yang lebih rendah dari itu, sila periksa dengan teliti agensi tersebut.  Lebih baik bayar lebih sedikit daripada kita ditipu untuk pergi ke sana.
      • Mengikuti kursus Umrah. Ini penting sebab kita hendak datang sebagai tetamu Allah SWT dan hendak mengerjakan ibadat umrah. Kita perlu tahu pantang larang semasa berada di tanah suci Mekah dan Madinah terutama semasa dalam ihram. Biasanya agensi Umrah akan mengadakan ceramah Umrah di waktu yang mereka tetapkan. Pastikan hadir sebab di situ kita akan diajar bagaimana melakukan ibadah umrah. Sekiranya agensi tidak menyediakan kursus Umrah, selama bulan Januari ke Mac ada sesetengah masjid yang mengadakan kursus haji contohnya Masjid Kinrara. Jadi kita boleh pergi mendengar. Mana tahu dengan niat untuk menuntut ilmu mengerjakan umrah menjadi rezeki kita untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut.

      Masjid Al Ehsan Kinrara





      • Sediakan peralatan secukupnya terutama ubat ubatan. Ubat ubat asas Panadol, ubat demam, ubat batuk, Sekiranya pergi pada musim sejuk (Bulan Disember-  Mac) pastikan bawa krim pelembap  sebab kulit akan jadi kering dan gatal. Jangan garu sebab ia akan berdarah. Jadi pakai krim. Pastikan tidak berbau (boleh didapati di mana mana kedai peralatan Umrah ) . Di tanah suci ada farmasi tetapi harga ubatnya mahal. Bayangkan harga krim kulit gatal sampai 130 Riyal. Tetapi tidak dinafikan berkesan. hehehe.
      •   Aktifkan  ATM kad supaya boleh digunakan diluar negara. Ini opsyen. Di sana banyak dugaan untuk membeli belah. Kalau rasa cukup dengan wang di tangan tidak payah buat. Tetapi sekadar untuk waktu kecemasan.
      Itu adalah perkara asas. Semua orang tahu tapi apabila terlalu banyak benda yang hendak dilakukan kekadang benda asas yang kita akan lupa. Jalani ibadah Umrah dengan bersungguh sungguh  dan sentiasa berdoa  supaya kita akan dijemput menjadi tetamu-Nya untuk tahun seterusnya . Amin


      Pintu masuk King Abdul Aziz. Sekarang sudah ditutup untuk pembesaran Masjidil Haram
      Perkarangan Masjid Nabawi



      Menuju Raudhah ( kubah hijau) bahagian perempuan

      Masjid Nabawi

      Makam Rasulullah SAW. Bahagian lelaki.







      Sekian Wassalam